UMT Sailing Team Meluncur ke Negara Gajah Putih

UMT Sailing Team Meluncur ke Negara Gajah Putih

Pusat Latihan Pelayaran (PLP), Universiti Malaysia Terengganu telah bingkas mengorak langkah dengan menghantar pasukan menyertai pertandingan antarabangsa di Thailand dari 15 hingga 17 September 2023. UMT Sailing Team yang terdiri daripada 2 orang jurulatih dan 5 orang pelajar telah menyertai OMJ Platu Championship of Thailand 2023 di Ocean Marina, Na- Jomtien, Thailand anjuran Ocean Marina Yacht Club dan Yacht Racing Association of Thailand. Ini adalah kali kedua UMT menyertai acara antarabangsa bagi tahun ini selepas menyertai Kejohanan Asia SB20 di Singapura pada Januari tahun lalu.

Kejohanan selama tiga hari ini menampilkan beberapa pelayar handal dari Australia, Belanda, Malaysia dan tuan rumah Thailand. Sebanyak 14 perlumbaan telah diadakan, dan UMT sebagai wakil tunggal negara menduduki tempat ke-6 dari 8 pasukan. Sungguhpun begitu, UMT mendapat sedikit keceriaan melalui dua pelajar iaitu Nurul Asyikin Binti Ibrahim dan Nur Muhammad Aqil Bin Nadzri dari Fakulti Pengajian Maritim yang telah diberi peluang menjadi ahli pasukan tambahan kepada pasukan luar negara iaitu Eazy Tiger dari Australia dan Rolf Heemskek dari Belanda. Dua pasukan ini berjaya menduduki tempat ke-2 dan ke-3.

Kejohanan kali ini juga merupakan pusingan akhir Asian Platu Championship 2023, dimana 10 pasukan terbaik akan dipilih secara automatik untuk bertanding di World Platu Championship Series pada Oktober 2023.

Walaupun tidak berjaya membawa pulang kejayaan, kejohanan ini berfungsi sebagai platform terbaik untuk melatih pasukan muda UMT yang terdiri daripada pelajar tahun 1 dan 2. Ia sebahagian dari latihan dan persediaan ke Royal Langkawi International Regatta pada Januari 2024. Semoga pasukan pelayaran UMT terus mencipta kejayaan dimasa akan datang.