Majlis Pelancaran Pusat Latihan Pelayaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Marin Kapal RV Discovery UMT Sempena LIMA ‘23 di Duyong Marina Resort Kuala Terengganu.

Majlis Pelancaran Pusat Latihan Pelayaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Marin Kapal RV Discovery UMT Sempena LIMA ‘23 di Duyong Marina Resort Kuala Terengganu.

15 Mei 2023 l UMT LANCAR PUSAT LATIHAN BAHARU, MEDAN GILAP BAKAT PELAYAR NEGARA
Bagi menyahut cabaran dan sentiasa optimis dalam merencanakan halatuju gedung ilmu yang menjadi pusat pakar rujuk masyarakat, UMT telah menubuhkan Pusat Latihan Pelayaran (PLP) pada 1 Ogos 2019 lalu. Pusat Latihan ini berperanan dalam pembinaan modul dan bahan rujukan serta kajian berkaitan pelayaran dan diterjemahkan melalui penganjuran program pemerkasaan masyarakat melalui penganjuran kursus dan program pemindahan ilmu kepada pelajar sekolah dan komuniti.
PLP UMT ini turut mendapat perhatian daripada pihak istana Terengganu dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu dan telah mencemar duli bagi menyempurnakan majlis perasmian PLP UMT.
PLP UMT mengiktiraf kepakaran serta kearifan komuniti tempatan (local expert) dan telah melantik individu-individu yang berpengalaman luas dalam ilmu pelayaran untuk berkongsi ilmu dan kepakaran khususnya berkaitan kemahiran pelayaran dan seni bina pertukangan model kapal. Usaha ini adalah bagi melengkapkan model sukan layar yang diterajui UMT untuk terus melakar kecemerlangan dan seterusnya mengangkat kembali aktiviti sukan layar sebagai warisan dari generasi ke generasi.
Objektif penubuhan PLP bukanlah hanya tertumpu kepada penglibatan dalam acara sukan semata-mata, malah aktiviti pelayaran juga merupakan satu ilmu kemahiran kompetensi yang diiktiraf dan ia boleh dijadikan bidang kerjaya seperti sebagai nakhoda kapal layar atau bekerja di marina.
Diantara pencapaian sepanjang penubuhan PLP ini, mereka berjaya melakar kejayaan apabila pasukan UMT Sailing Team telah merangkul pingat gangsa bagi kejohanan 16th Yisunsin Cup International Yacht Race di Korea Selatan bagi kategori J70 pada November 2022 lalu.
Selain itu, PLP UMT juga berjaya mengubah persepsi skeptikal penglibatan golongan wanita dalam sukan layar dan ia dibuktikan melalui kejayaan pasukan Ocean Girls UMT dinobatkan sebagai pemenang ketiga keseluruhan bagi kategori sport-boat dalam penganjuran Royal Langkawi International Regatta 2023 pada Januari 2023 lalu.
PLP UMT turut menyokong usaha Persatuan Pelayaran Negeri Terengganu dalam mencari bakat pelayaran dari kalangan orang kelainan upaya (OKU). Sehingga kini, seramai tujuh orang kelainan OKU di kalangan komuniti di Kuala Terengganu telah terlibat secara aktif bagi acara sukan pelayaran kategori khas iaitu Handicape Sailing (HANSA). Kerjasama dan sokongan daripada beberapa agensi dan Persatuan Pelayaran Malaysia menjadikan PLP UMT adalah satu-satunya pusat latihan HANSA di Malaysia.