BENGKEL PEMBUATAN JONG TRADISIONAL “MELESTARIKAN KEARIFAN MARITIM NUSANTARA”

⛵Hari pertama Bengkel Pembuatan Jong Tradisional 2025 bertemakan “Melestarikan Kearifan Maritim Nusantara” telah berlangsung dengan jayanya pada 4 September 2025 bertempat di Bangunan Makmal Sains Nautika dan Pantai Universiti Malaysia Terengganu.

⛵Program yang berlangsung dari 4 hingga 6 September 2025 ini dikelolakan oleh pelajar Kelab Pelayaran UMT dengan kerjasama Pusat Latihan Pelayaran UMT dan Persekutuan Pengakap Terengganu. Penganjuran bengkel ini bertujuan memelihara serta memartabatkan warisan maritim melalui seni pembuatan jong tradisional yang sarat dengan nilai sejarah dan identiti bangsa.

⛵Seramai 33 orang peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah telah menyertai program ini, antaranya dari Sekolah Swasta Sri Showme, SMK Padang Midin, SMK Lembah Bidong dan SK Tok Jembal. Selain itu, seramai 10 orang pelajar UMT daripada Kelab Pelayaran UMT turut terlibat sebagai fasilitator dan penunjuk ajar sepanjang bengkel berlangsung.

⛵Pada hari pertama, para peserta telah diperkenalkan kepada sejarah dan asal-usul jong tradisional, pengenalan bahan asas pembuatan, demonstrasi teknik asas membentuk badan jong serta penerangan mengenai asas perlumbaan jong. Sesi perkongsian ilmu oleh tenaga pakar telah memberi pendedahan yang bermakna kepada peserta, di samping memupuk minat serta kefahaman terhadap kepentingan memelihara warisan maritim Nusantara.

⛵Suasana bengkel yang interaktif dan penuh semangat jelas memperlihatkan komitmen peserta dalam menimba ilmu serta menghayati nilai tradisi yang diwarisi turun-temurun. Program ini diharap dapat menjadi platform berterusan dalam usaha melestarikan kearifan maritim serta memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti setempat.